Semoga ini bukannya mimpi.
Ujian itu boleh jadi macam angin.
Boleh jadi macam hujan.
Boleh jadi macam panas terik.
Demikian kebahagiaan.
Boleh datang seperti angin.
Boleh datang seperti hujan.
Boleh jadi panas terik.
Bersilih ganti semuanya.
Datang dan pergi.
Pada kekalutan dan kepedihan yang seringkali datang,
manusia berdoa agar ia cepat pergi.
Kepedihan itu tidak perlu.
Datangnya, usah difahami.
Berdoalah agar ia cepat-cepat pergi.
Barangkali begitulah.
Pinta sebuah hati
yang senjatanya hanya airmata.
Aku mencari lindungan kerana aku sedar,
dibarangkali kebahagiaan yang datang itulah,
aku sering menjadi manusia yang ingkar
dengan anugerah dan nikmat.
Aku suka memecahkan kaca nikmat.
Aku selalu menconteng kanvas anugerah
dengan warna hitam.
Aku mencari lindungan
kerana aku percaya
aku adalah hamba yang tidak bersyukur.
Hidup ini adalah perjuangan.
Aku percaya kepedihan yang datang itu
bukanlah milik aku.
Kerana aku juga percaya,
kebahagiaan yang datang itu
pun bukan milik aku.
Aku akan terus berjuang
untuk mendapatkan kebahagiaan
dengan rasa kehambaan itu.
Ketaatan itu.
Ketundukan itu.
Aku mencari lindungan.
Bayu rasa pecah di hujung tari angin.
Mencari lindungan bukanlah bermakna
aku perlu bersembunyi.
Aku perlu melawan.
Seni fizikal akan melawan dengan usaha,
seni jiwa akan melawan dengan hati.
Dengan perlawanan dan peperangan
itulah sebenarnya mencari lindungan.
Aku berlindung agar aku tidak lagi
mengingkari nikmat Nya yang sekali ini
Agar aku tidak memungkiri anugerah Nya
Sekecil manapun nikmat itu di mata fizikal,
hakikat pemberian Tuhan itu amatlah besar.
Amat suci nilainya.
Hanya aku yang selalu gelap matahati.
Berpaling melupakan janji.
Hurmmm...
Kejahatan diri amat pahit untuk dikenangi.
Tetapi kasih sayang Allah
dan harapan yang Dia beri
bersama lindungan Nya tidak boleh dilupa.
Demikian
Ketika aku berasa bahagia dan aman ini,
mohon aku tidak lagi menjadi manusia yang memungkiri,
yang mengingkari,
yang menyakitkan hati.
Kepada semua di luar sana,
yang sedang berbahagia,
aku mendoakan yang sama.
Biar kita menjadi manusia yang memelihara amanah.
Yang mensyukuri anugerah.
Yang tidak mudah mengalah
walau kadang-kadang
terasa benar bahawa hidup ini amat payah.